SEJARAH
SEKOLAH KEBANGSAAN TEBAANG DARO
Sekolah Rendah Kerajaan Kampung Tebaang
ditubuhkan pada tahun 1958 oleh penduduk kampung. Pengasas pembinaan sekolah
ini ialah En Gasa. Pada asalnya sekolah ini didirikan di tebing sungai Tebaang
secara sementara oleh penduduk kampung. Ia dibina atas
dasar gotong royong. Sekolah itu bertiangkan Nibong dan beratap daun nipah,
berdindingkan daun nipah dan berlantaikan papan gergaji sorong. Enrolmen murid
ada seramai 20 orang bersama 2 orang guru. Keadaannya adalah serba kekurangan
dan daif. Murid yang datang belajar adalah daripada kalangan yang betul betul
peka tentang keperluan bersekolah dan umur mereka adalah tidak menentu sehingga
ada yang berumur 16 tahun masuk tahun pertama.
Bangunan yang panjangnya 50 kaki itu dibahagi
kepada tiga bilik. 2 bilik kelas dan satu bilik guru. Batasan antara satu bilik
dengan bilik yang satu lagi hanya dipisahkan dengan atap nipah. Meja dan kerusi
yang digunakan adalah hasil kerja penduduk kampung. Manakala gurunya pula
adalah daripada kalangan penduduk tempatan yang ada belajar bersama dengan
orang Inggeris dan mendapat lantikan daripada Majlis Tempatan. Bangunan itu
tidak bertahan lama, tiga tahun kemudian iaitu pada tahun 1961 sekolah ini
diroboh kerana keadaannya yang kurang selamat. Dalam tempoh tiga tahun itu juga
penduduk kampung semakin celik dan sedar betapa pentingnya bersekolah.
Bilangan anak-anak kampung yang datang mendaftar semakin bertambah.
Justeru itu, pihak Jawatankuasa kampung telah
memohon kepada kerajaan tempatan untuk mendirikan sekolah yang lebih baik.
Jawatankuasa Kampung dan sekolah telah mendapat perhatian dan sokongan daripada
Majlis Kerajaan Tempatan (Majlis Daerah) untuk mendiri sekolah baru kira-kira
100 meter daripada tapak lama. Bangunan baru didirikan pada tahun 1961 dengan
tiga kelas dan satu bilik guru dan sebuah berek dua pintu. Keadaan bertambah
baik dan bilangan murid bertambah sehingga 50 orang. Pada masa itu, segala
kemudahan asas seperti api elektrik dan air belum ada lagi. Pengurusannya
adalah di bawah Jabatan pelajaran di bawah bidang kuasa Majlis Daerah (MDDM). Pada peringkat awalnya sekolah ini mempraktikkan alternate year intake
(Pengambilan selang tahun). Dari setahun ke setahun bilangan murid sentiasa
bertambah sehingga kelas yang ada tidak mencukupi. Permohonan kepada Jabatan Pelajaran
dikemukakan semula untuk penambahan bilik kelas dan beberapa keperluan lain
serta infrastruktur yang lebih baik. Justeru itu, pada tahun 1990, Jabatan
Pelajaran meluluskan permohonan untuk mendiri sekolah baru dengan kemudahan dan
kelengkapan seperti yang terdapat pada hari ini.
Ianya terdiri daripada:
i)
Satu blok bangunan kelas
(6 bilik kelas kekal)
ii)
Satu blok Pusat Sumber
sekolah
iii)
Satu blok pentadbiran
iv)
Sebuah gelanggang
serbaguna
v)
4 pintu tandas murid dan
4 pintu tandas guru
vi)
Sebuah berek 2 pintu
untuk guru.
Walaupun kelengkapan dan keperluan belum
mencukupi sekurang-kurangnya dapat memberi keselesaan kepada guru-guru dan anak-anak yang bersekolah. Bangunan baru ini mula digunakan pada tahun 1993 dan
bergelar “Sekolah Kebangsaan Tebaang Daro.” Pada hari ini sekolah ini telah
menawarkan Kelas Pra Sekolah hingga Tahun Enam. Ada 14 orang guru dan 3 orang
staf sokongan yang berkhidmat di sini sehingga sekarang untuk mengasuh dan
membimbing murid seramai 204 orang. Murid murid di sini rata-ratanya beragama Islam dan berbangsa Melanau. Ibu bapa mereka bekerja sebagai nelayan dan petani
yang berpendapatan RM 400 ratus ke bawah.
Namun begitu, murid-murid
di sini sangat rajin datang ke sekolah kerana terdapat banyak bantuan yang diberikan oleh kerajaan seperti Rancangan makanan Tambahan (RMT), projek susu percuma dan
bantuan KWAPM. Murid murid sudah mula menampakkan kecerdasan dan kecemerlangan
mereka sehingga pada tahun 2006 keputusan UPSR mencecah sehingga 80% dan
julung-julung kali seorang murid mendapat 5A sejak sekolah dibuka pada tahun
1958 hingga 2006. Inilah satu kejayaan yang dinanti-nantikan dan amat
dibanggakan oleh masyarakat kampung.
~Copied & Edited~