27 November 2017

MAJLIS ANUGERAH PENCAPAIAN PELAJAR CEMERLANG 2017

Pada 22 November 2017 yang lalu, satu majlis bagi meraikan para pelajar yang cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan sahsiah diri telah berjaya dianjurkan dengan jayanya. Majlis ini telah diadakan di Pentas Sri Tebaang bermula pada jam 0800 pagi hingga 1130 pagi. Wakil bagi pihak Pejabat Pendidikan Daerah telah hadir sebagai tetamu kehormat iaitu Cikgu Aruan Bin Samion. 






JAMUAN AKHIR TAHUN KELAS 6 MATAHARI

Tinggal beberapa hari lagi pelajar tahun 6 akan meninggalkan alam persekolahan di sekolah rendah. Justeru itu satu jamuan akhir tahun telah diatur bagi meraikan pelajar-pelajar ini. Persediaan telah dibuat dengan kerjasama guru-guru dan ibu bapa. Pelbagai hidangan telah disediakan dari hidangan seperti kuih-muih, nasi beriyani hingga kepada ulam-ulaman.
       Majlis ini telah dihadiri para ibu bapa, guru-guru dan pelajar tahun 6 Matahari. Antara intipati ucapan oleh Guru Besar ialah agar pelajar terus menimba ilmu dan berusaha dengan gigih bagi mencapai impian masing-masing. Selain itu ibu bapa perlu mempunyai iltizam yang kuat untuk menyekolahkan anak masing-masing agar masa hadapan mereka akan lebih terjamin.



6 November 2017

PERKHEMAHAN UNIT BERUNIFORM CPT 2017

Perkhemahan Unit Beruniform CPT 2017 adalah dalam rangka kerja usahasama 3 buah sekolah iaitu SK Tebaang, SK Camporan dan SK Pangtray. Perkhemahan ini dikelola sepenuhnya oleh Unit Kokurikulum yang diketuai oleh Cikgu Mustapha Hasim selama 3 hari 2 malam bermula pada 03 - 05 Oktober 2017 di SK Tebaang. Walau bagaimana pun hanya SK Camporan sahaja menghantar 10 orang peserta dan guru seramai 3 orang manakala SK Pangtray tidak dapat menyertai perkhemahan tersebut pada kali ini.
      Pelbagai program telah dirancang bagi memberi pendedahan kepada para peserta antaranya juga melibatkan kepakaran Angkatan Pertahanan Awam Cawangan Daro untuk membimbing para peserta pada perkhemahan ini. Di harapkan segala semangat dan ilmu berkaitan perkhemahan ini dapat diaplikasikan kepada kehidupan seharian dan yang akan datang.


1 November 2017

SEKOLAH PENYAYANG - PROGRAM SAMBUTAN HARI LAHIR

Warga SK Tebaang yang menyambut hari lahir bagi bulan Jun - Oktober 2017 telah diraikan dalam satu program yang sederhana tetapi meriah. Program anjuran Unti Hal-Ehwal Murid di bawah Sekolah Penyayang telah diadakan pada 31 Oktober 2017. Seramai 79 orang pelajar yang telah menyertai program berkenaan dengan kerjasama pihak ibu bapa yang turut membuat persiapan bagi meraikan anak-anak masing-masing.

TAKLIMAT PERSEDIAAN PELAJAR KE SEKOLAH MENENGAH

Pada 27 September 2017 yang lepas Unit Hal-Ehwal murid telah berjaya menganjurkan taklimat berkaitaan persediaan pelajar tahun 6 ke peringkat sekolah menengah. Selain itu, pengisian taklimat berkenaan juga mendedahkan cabaran dan realiti semasa yang bakal dihadapi oleh mereka. Secara tidak langsung para pelajar ini akan lebih bersedia dan memperoleh pengetahuan yang amat berguna sebagai persediaan dari segi mental dan psikologi bagi menempuh suasana pembelajaran yang baharu

28 October 2017

SUKAN ZON TANJUNG ALAN 2017

Zon Tanjung Alan telah menganjurkan satu pertandingan olahraga dan permainan bagi memilih para atlet yang akan mewakili Zon Tanjung Alan ke Kejohanan Antara Zon Daerah Daro pada tahun hadapan. Kejohanan ini telah dijalankan pada 27 Oktober 2017 oleh pihak SK Hijrah Badong merupakan tuan rumah bagi kejohanan pada tahun ini. Padang Sukan Daerah Daro di Kampung Lemang Pek dijadikan venue bagi acara olahraga manakala acara permainan pula diadakan di SK Hijrah Badong. Bagi permainan bola sepak dan bola jaring turut disertai oleh pasukan SK Tebaang pada kali ini.
       Bagi acara olahraga SK Tebaang telah memenangi 2 emas 1 perak dan 2 gangsa melalui Aniq-lontar peluru (Emas), Nuraminah-80m berpagar (Emas). Bagi pingat perak pula Noy memenangi bagi acara lompat jauh dan pasukan 4 x 200m lelaki dan perempuan turut berjaya mendapat tempat ke-3. Pasukan Bola Sepak pula mengungguli tempat pertama manakala pasukan bola jaring pula mendapat tempat ke-4 pada kejohanan tersebut. Tahniah diucapkan kepada pasukan SK Tebaang.



25 October 2017

PERTANDINGAN SUKAN ANTARA RUMAH SUKAN

Sekali lagi Unit Ko kurikulum telah berjaya menganjurkan pertandingan sukan bagi acara balapan di Padang SK Tebaang pada 25 Oktober 2017. Ini merupakan sambungan daripada acara padang yang telah berlangsung pada 09 - 10 Oktober yang lepas. Pada akhir pertandingan ini, Rumah Sukan Rentap telah mengungguli tahta pertandingan pada kali ini dengan mengumpul markah 126 markah sebagai juara keseluruhan Rumah Sukan pada tahun ini.




21 October 2017

MAJLIS PERPISAHAN CIKGU ASMA BINTI HASSAN

Warga SK Tebaang telah mengadakan satu jamuan perpisahan buat Cikgu Asma yang akan berpindah ke SK Petra Jaya, Kuching sebaik bermulanya sesi persekolahan selepas cuti perayaan Deepavali pada 23 Oktober 2017 ini nanti. Majlis ini telah diadakan pada 12 September 2017 yang lalu di Bilik Rancangan Makanan Tambahan. Dalam ucapan pada majlis itu, beliau mengucapkan jutaan terima kasih atas segala bantuan dan kerjasama yang telah diberikan sepanjang berada di SK Tebaang hampir selama 5 tahun. Bagi pihak semua warga SK Tebaang sesi 2017 , kami mengucapkan selamat maju jaya dan seterusnya berjaya dalam semua bidang yang diceburi dan gembira sentiasa di tempat yang baharu. Terima kasih Cikgu Asma Binti Hassan atas sumbangan yang telah diberikan selama ini.

SUKAN ANTARA RUMAH 2017

Unit Kokurikulum telah menjalankan pertandingan antara rumah sukan bermula pada 19 sehingga 20 September 2017. Pertandingan bermula dengan acara permainan melibatkan bola sepak dan bola jaring pada petang 19 September 2017. Bagi acara padang pula melibatkan 3 acara seperti lompat jauh, lompat tinggi dan lontar peluru, Murid-murid telah dibahagikan kepada 4 buah rumah sukan iaitu Rumah Sukan Dato Bahaman, Rumah Sukan Rosli Dhoby, Rumah Sukan Mat Kilau dan Rumah Sukan Rentap.


19 October 2017

CERAMAH JENAYAH KANAK-KANAK

Satu siri ceramah berkaitan dengan jenayah kanak-kanak telah dijalankan pada 10 Oktober 2017. Ceramah ini telah disampaikan oleh pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Matu Daro. Kesemua pelajar telah menghadiri ceramah berkenaan dengan tujuan agar para pelajar tidak terlibat dalam jenayah kanak-kanak dan seterusnya menerapkan disiplin yang tinggi di kalangan pelajar.


CERAMAH KESEDARAN AWAM PENCEGAHAN KEBAKARAN

Pada 09 September 2017,Unit Hal-Ehwal Murid SK Tebaang dengan kerjasama pihak Bomba Mukah dan Bomba Sukarela Daerah Daro telah berjaya menganjurkan ceramah kesedaran awam pencegahan kebakaran. Pada kesempatan ini para pelajar dan guru berpeluang untuk mempelajari kaedah-kaedah dalam menghadapi kebakaran.
       Para pelajar mempelajari cara penggunaan pemadam api dan ceramah berkaitan tentang langkah-langkah mengelak daripada kebakaran. Selain itu pameran mini juga turut diadakan bagi memaparkan akibat dan musibah yang diakibatkan oleh api kebakaran.


KURSUS PEGURUSAN JENAZAH

Akitivi ini dijalankan sebagai salah satu aktiviti selepas UPSR yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam bagi pelajar tahun 6. Kursus ini telah dijalankan pada 04 Oktober 2017 telah mendapat kerjasama daripada pihak Pihak Jawatankuasa Masjid Kpg Tebaang. 
       Antara pekara yang dipelajari oleh para pelajar daripada kursus ini adalah cara-cara untuk menguruskan sesuatu kematian yang bermula dengan proses mengkafan dan solat jenazah. Para guru juga turut tidak ketinggalan untuk bersama-sama mempelajari ilmu pengurusan jenazah yang merupakan fardhu kifayah kepada setiap orang islam.


KEM CEMERLANG JAWI

Pihak Panitia Pendidikan Islam yang diketuai oleh Ustazah Nur Hidayah Aqidah telah berjaya menganjurkan Kem Cemerlang Jawi pada 30 September yang lepas. Peserta kem ini dipilih di kalangan para pelajar yang tidak menguasai aspek tulisan dan bacaan dalam tulisan jawi. Alhamdulillah, pihak kami juga turut menerima bantuan daripada guru-guru daripada sekolah-sekolah yang berdekatan seperti SK Camporan Daro dalam menjayakan aktiviti ini.


KEM KEPIMPINAN PEGAWAS BAGI SESI 2018

Unit Hal-Ehwal Murid SK Tebaang telah berjaya menganjurkan Kem Kepimpinan Pegawas bagi calon-calon pengawas bagi sesi 2018 nanti. Pada kali ini lokasi kem ini adalah di Pantai Belawai, Mukah.  Seramai 40 orang calon pegawas dan 10 orang guru telah berkampung di Pantai Belawai selama 3 hari bermula pada 29 September sehingga 01 Oktober 2017.
      Kem ini diadakan untuk memilih bakal-bakal pengawas yang akan menjawat jawatan berkenaan bagi sesi 2018. Peserta kem pada kali ini adalah terdiri daripada murid yang terpilih daripada murid tahun 3 hingga tahun 5 pada tahun ini. Pelbagai aktiviti menarik dan program telah dirancang bagi memupuk dan mengukuhkan aspek kepimpinan dan tanggungjawab dalam diri para peserta yang terlibat.




KEM BESTARI SOLAT 2017

Pada 26 dan 28 September yang lalu, berlangsungnya Kem Bestari Solat bagi tahun 2017. Semua pelajar Islam diwajibkan untuk menghadiri kem ini. Kem Bestari Solat ini telah dijalankan dalam 2 sesi mengikut tahap yang mana pada 26 September 2017 dikhaskan kepada pelajar tahap 1 manakala pada 28 September yang berikutnya pula diadakan bagi tahap 2. Fasilitator adalah terdiri daripada guru-guru Panitia Pendidikan Islam dan dibantu oleh guru-guru KAFA.

18 September 2017

MAJLIS PENUTUP BULAN KEMERDEKAAN 2017



Alhamdulillah selesai satu program yang sering pihak kami sambut saban tahun iaitu Program Bulan Kemerdekaan 2017. Sepanjang program berkenaan pelbagai acara diadakan iaitu sukaneka, pertandingan permainan tradisional, acara melukis dan pengibaran bendera telah berjaya dianjurkan.     
       Pada 18 Sepetember 2017, Majlis Penutup Bulan Kemerdekaan telah diadakan di Tapak Perhimpunan. Majlis ini telah dirasmikan Guru Besar SK Tebaang Encik Hassan Bin Norden. Antara acara yang diselitkan dalam majlis ini ialah persembahan nyanyian patriotik dan penyampaian hadiah kepada pada pemenang pertandingan. Majlis bermula pada jam 0800 pagi dan berakhir pada 0915 pagi.

12 September 2017

PEPERIKSAAN UPSR 2017 BERMULA


Saat yang ditunggu oleh para pelajar tahun 6 telah pun tiba. Seramai 21 orang pelajar tahun 6 2017 menduduki peperiksaan ini yang bermula 11 September 2017 hingga 18 September 2017 ini. Ini merupakan kohort ke-2 yang akan mengguna pakai format UPSR yang baharu.
       Seperti mana tahun sebelum ini, pihak sekolah telah menjemput ibu bapa pelajar tahun 6 untuk hadir bagi bersama-sama anak masing-masing.  Secara tidak langsung ini memberi sokongan dan ketenangan kepada para calon-calon UPSR sebelum memasuki ke dewan peperiksaan.

MAJLIS RESTU ILMU, DAN SOLAT HAJAT


Pada 10 Ogos 2017 yang lepas, pihak SK Tebaang telah berjaya menganjurkan Majlis Restu Ilmu & Solat Hajat bagi pelajar tahun 6 yang akan menduduki peperiksaan UPSR 2017. Majlis ini turut disertai oleh Yang Berhormat Encik Shafiee Bin Ahmad, Ahli Dewan Negeri N.43 Daro. Antara tetamu jemputan yang turut bersama pada majlis berkenaan ialah pegawai ketua-ketua jawatan dari Pejabat Daerah Daro, Balai Polis Daerah Daro, Pejabat Pelajaran Daerah Daro, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Tebaang dan Ketua Ranting PBB Kampung Tebaang. 
       Pada majlis berkenaan Yang Berhormat banyak memberi nasihat kepada para ibu bapa agar lebih menitikberatkan soal pendidikan anak-anak sebagai aset yang bernilai untuk masa depan keluarga masing-masing. Pada majlis tersebut, beliau turut meyampaiakan bantuan alat tulis kepada para calon-calon UPSR dan RM 5000.00 kepada pihak PIBG SK Tebaang untuk membantu aktiviti-aktiviti persatuan.

8 August 2017

CIKGU MUSTAPHA HASIM BERANGKAT MENGERJAKAN HAJI

       Cikgu Mustapha yang juga Penolong Kanan Kokurikulum SK Tebaang telah berangkat untuk mengerjakan haji pada tahun ini. Beliau juga telah ditemani isterinya, Cikgu Mariana Mohiden telah berangkat pada 02 Ogos 2017 yang lalu. Tahniah diucapkan kepada Cikgu Mustapha kerana pada tahun ini berpeluang untuk melengkapkan rukun islam yang kelima dan menjadi tetamu di tanah haram yang penuh dengan barakah. Pihak warga SK Tebaang mengucapkan selamat berangkat dan kembali nanti mendapat haji yang mabrur.

LAWATAN PELAJAR TAHUN 6 KE KUALA LUMPUR 2017




       Pepatah lama menyatakan "Jauh Perjalanan Luas Pengalaman" itulah cuba pihak kami terapkan kepada para pelajar tahun 6 yang mana pada 28 Julai 2017 hingga 31 Julai 2017 telah dibawa untuk melawat dan melihat sendiri kemajuan di Kuala Lumpur. Objektif lain adalah untuk memberi peluang kepada para pelajar untuk mempelajari dan merasai sendiri pengalaman yang mana agak sukar diperoleh hanya melalui dokumentari dan juga buku teks.
       Seramai 20 orang pelajar dan 7 orang guru pengiring telah melawat ke beberapa tempat yang dikenal di Kuala Lumpur seperti Putrajaya, Zoo Negara, Tugu Negara, Menara Berkembar Petronas dan beberapa tempat yang lain sekitar KL. Terpancar wajah girang pelajar yang merupakan pengalaman pertama kali mereka menaiki kapal terbang.
       Terima kasih kepada para penyumbang yang telah sudi memberikan pihak pelajar pengalaman yang berharga ini. Tanpa sifat murah hati para penyumbang kepada program ini sukarlah pihak sekolah untuk melaksanakan program ini dan diharapkan para pelajar boleh memanfaatkan pengalaman ini untuk mempelajari sesuatu yang berguna.

7 August 2017

BENGKEL MENJAWAB SOALAN BAHASA MELAYU PENULISAN


       Walaupun beberapa kali ditunda namun bengkel menjawab soalan UPSR bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Penulisan telah berjaya dianjurkan. Bengkel berkenaan telah diadakan pada 24 Julai 2017 yang lalu. Penceramah jemputan adalah Cikgu Pathe Bin Morni dari SK Orang Kaya Sergunim, Matu. Para pelajar yang bakal menduduki soalan UPSR 2017 berpeluang menimba tip dan ilmu yang penting dalam persediaan mereka untuk memperoleh keputusan yang memberangsangkan dalam peperiksaan berkenaan. Terima kasih kami ucapkan kepada Cikgu Pathe atas perkongsian yang amat bermakna kepada anak-anak didik di SK Tebaang.

25 July 2017

MESYUARAT PROGRAM PEMUAFAKATAN PIBG 2017


       Mesyuarat perlantikan Ahli Jawatan Kuasa Induk Program Pemuafakatan PIBG bersama warga SK Tebaang telah dilaksanakan pada 24/07/2017 tepat jam 2:30 petang. Majlis berkenaan telah berlangsung di bawah Makmal Komputer dengan dihadiri ramai ahli PIBG. Sambutan para hadirin khususnya kaum ibu amat menggalakkan. Perkara utama yang menjadi fokus perbincangan adalah berkenaan penganjuran Majlis Permuafakatan PIBG yang mana perasmian akan dibuat oleh Yang Berhormat Encik Shafie Bin Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri N43 Daro. Majlis berkenaan dijadualkan pada 10 Ogos 2017 ini.

24 July 2017

BENGKEL MENJAWAB SOALAN BM PENULISAN UPSR 2017


       Satu sesi bengkel menjawab soalan Bahasa Melayu Penulisan telah diadakan pada 24 Julai 2017 di  Makmal Komputer SK Tebaang bagi calon UPSR 2017. Bengkel ini telah disampaikan oleh Cikgu Pathe Bin Morni dari SK Orang Kaya Sergunim, Matu. Bengkel ini bermula pada pukul 8:00 pagi hingga 12:30 tengah hari. Pendedahan yang diterima hasil bengkel ini memberi peluang kepada para pelajar untuk menambah pengetahuan tentang cara-cara yang betul untuk menjawab soalan-soalan BM Penulisan UPSR.

MAJLIS KENDURI KESYUKURAN MENUNAI HAJI 2017

       Pada tahun ini Cikgu Mustapha Bin Hasim dan isteri Cikgu Maryana Binti Mohiden telah mendapat perkhabaran yang gembira apabila terpilih antara 30,200 orang menjadi tetamu Allah (S.W.T) untuk menunaikan rukun islam yang kelima itu pada awal bulan Ogos ini nanti. Satu majlis kesyukuran telah diadakan untuk beliau dan majlis ini telah dianjurkan oleh pihak SK Hijrah Badong pada 22/07/2017 yang lalu. Ramai kenalan, rakan sekerja dan sanak-saudara dilihat sama-sama meraikan majlis berkenaan yang diadakan di SK Hijrah Badong pada pagi hari berkenaan. Selamat menunaikan ibadat haji semoga memperoleh haji mabrur.

5 July 2017

FIREDRILL @ SKTD


        Latihan menghadapi kebakaran di SK Tebaang telah diadakan pada 05.07.2017 yang mana ia diketuai oleh Cikgu Kachindai Anak Daniel telah berjaya dikendalikan oleh semua guru dan mendapat kerjasama yang baik daripada murid-murid. Berdasarkan pemerhatian,  warga sekolah khasnya para murid bersedia dan tahu apa perlu dibuat sekiranya kebakaran berlaku secara mendadak. Ini adalah kerana banyak siri latihan kebakaran telah dijalankan setakat ini membolehkan para murid sudah lazim dan bersiap-siaga akan segala kemungkinan yang akan berlaku

20 June 2017

MAJLIS IFTAR & PERPISAHAN CIKGU NUR ATIQAH


       Dengan kedatangan bulan Ramadhan pada tahun ini, tidak ketinggalan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Tebaang untuk mengadakan iftar bagi semua warga SK Tebaang. Program ini telah dijalankan pada 20 Jun 2017 bersamaan 25 Ramadhan 1438 di bawah Makmal Komputer SK Tebaang. Antara tetamu hormat yang sudi hadir ke majlis ini ialah Yang Dipertua PIBG, wakil-wakil  masyarakat Kampung Tebaang dan Exco PIBG.
       Serentak denga itu juga turut berlangsung adalah majlis untuk meraikan Cikgu Nur Atiqah yang akan berpindah ke SK Sri Ampang, Perak bermula 22 Jun 2017. Cikgu Atiqah telah memulakan perkhidmatan pada Januari 2015 iaitu selama 2 tahun di sini. Pastinya kami akan kehilangan seorang lagi rakan sejawat yang begitu gigih bersama-sama untuk memajukan SK Tebaang. Pihak kami merakamkan jutaan terima kasih kerana kesanggupan beliau untuk berkhidmat di Sarawak dengan meninggalkan keluarga sepanjang berada di sini. Selamat maju jaya untuk Cikgu Tiqah dan semoga akan  terus mengingati warga SK Tebaang sampai bila-bila.