20 February 2017

PROGRAM PENETAPAN SASARAN PELAJAR UPSR 2017



       
       Program ini berjaya dianjurkan pada 19/02/2017 oleh unit kurikulum SK Tebaang di bawah kendalian Penolong Kanan 1, Cikgu Serudin Bin Mahiden. Dalam program ini para pelajar dikehendaki menetapkan sasaran yang ingin dicapai dalam peperiksaan UPSR nanti. Selain itu, para calon upsr juga berikrar untuk berusaha mencapai sasaran berkenaan dengan disaksikan oleh guru besar dan para ibu bapa masing-masing.

19 February 2017

PROGRAM MOTIVASI IBU BAPA & PELAJAR TAHUN 6

     


     Alhamdulillah...selesai sudah Program Motivasi Ibu Bapa dan Pelajar Tahun 6 yang telah mendapat kerjasama sepenuhnya dari para ibu bapa dan staf SK Tebaang. Program ini walaupun dijalankan pada hari Ahad (19.02.2017) tetap mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua ibu bapa pelajar yang terlibat. Sekali lagi penceramah yang dijemput Cikgu Ismadi Bin Haji Johari dari SMK Kampung Nangka, Sibu tidak mengecewakan dari segi pengisian aktiviti dan kata-kata semangat yang ditiupkan kepada para ibu bapa, para pelajar banyak memberi menyuntik aura positif dalam mengharungi diari seorang pelajar walaupun dijalankan secara santai.

18 February 2017

GOTONG-ROYONG MEMINDAHKAN KERUSI & MEJA KE SK TEBAANG

    

       Terima kasih diucapkan kepada pihak SK Kuala Matu yang sudi untuk menyumbangkan 51 buah kerusi dan meja kepada pihak SK Tebaang. Proses memindahkan perabot ini bermula pada pukul 9:00 pagi 18/02/2017 dan berakhir pada jam 1:00 petang. Masalah kekurangan meja dan kerusi ini berlaku apabila berlaku peningkatan jumlah pelajar di Tahun 1 Sakura sehingga menyebabkan jumlah kerusi dan meja yang ada tidak mencukupi. Untuk mengatasi masalah ini pihak Pejabat Pendidikan Daerah Daro telah meminta jasa baik SK Kuala Matu untuk memindahkankan peralatan berkenaan berikutan adanya lebihan meja dan kerusi di SK Kuala Matu.

MAJLIS WATIKAH PELANTIKAN PEGAWAS SEKOLAH SESI 2017



       Pengawas sekolah, pengawas perpustakaan dan ketua serta penolong ketua kelas telah diraikan sempena majlis watikah pelantikan pengawas sekolah yang telah berlangsung pada 13/02/2017 yang lalu. Majlis berkenaan telah dirasmikan sendiri oleh Guru Besar SK Tebaang. Hadir sama bagi sambutan pada majlis itu ialah Ketua Kaum Kampung Tebaang,Yang Dipertua PIBG, pegawai dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Cawangan Daro. Pada majlis tersebut semua pengawas sekolah dan ketua serta penolong kanan kelas bagi sesi 2017 telah menerima watikah pelantikan masing-masing. Harapan semua guru agar pengawas sekolah ini dapat menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan dedikasi
      

10 February 2017

PROGRAM JOM KE SEKOLAH 2017

       Bertarikh 06 Februari 2017 yang lalu, pihak SK Tebaang berjaya menganjurkan Program Jom Ke Sekolah serentak dengan semua sekolah di peringkat nasional. Antara tujuan program berkenaan adalah untuk menangani isu ketidakhadiran murid-murid ke sekolah bagi mencapai KPI 95% Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Program ini juga melibatkan pegawai polis perhubungan sekolah bagi memastikan suasana persekitaran sekolah yang kondusif bebas daripada unsur jenayah seperti buli dan pelanggaran melibatkan salah laku disiplin berat.

5 February 2017

MAJLIS PENUTUPAN PROGRAM TRANSISI TAHUN 1 2017


     Majlis penutupan program transisi telah diadakan pada 24 Januari 2017 yang lalu. Pelbagai bentuk hadiah telah disediakan bagi diagihkan kepada para pelajar tahun 1 sepanjang tempoh transisi yang berlangsung. Hadiah yang disampaikan bertujuan untuk memberi galakan dan motivasi kepada pelajar yang menunjukkan prestasi yang membanggakan. Hadiah telah disampaikan oleh Guru Besar, Cikgu Hassan Norden dan Penolong Kanan Pentadbiran Cikgu Serudin Mahiden.

MESYUARAT PERSATUAN IBU BAPA & GURU SIRI 1 2017

    
       Mesyuarat PIBG siri 1 ini telah dijalankan pada 17 Januari 2017 bertempat di lobi Makmal Komputer SK Tebaang. Tujuan pertemuan ini dijalankan untuk membincangkan tentang hala tuju persatuan bagi tahun ini di samping untuk memperkenalkan pentadbir baharu SK Tebaang kepada para ibu bapa pelajar. Beberapa keputusan telah dipersetujui dalam perbincangan berkenaan antaranya kutipan yuran dikenakan dan juga gotong-royong untuk memperbaiki kelas yang uzur.

PROGRAM TRANSISI TAHUN 1 2017


      Program ini telah bermula pada 03 Januari 2017 hingga 20 Januari 2017 yang lalu. Program dan aktiviti ini dijalankan adalah bertujuan untuk membantu murid menghadapi perubahan daripada pendidikan tidak formal di rumah atau tadika kepada pendidikan lebih formal di Tahun 1 sekolah rendah. Dalam masa yang sama program ini juga dapat memastikan agar semua murid Tahun 1 yang datangnya dari latar belakang, pengalaman dan sosio ekonomi yang berbeza akan dapat memulakan proses pembelajaran di Tahun 1 pada tahap pencapaian yang hampir sama.