8 August 2017

CIKGU MUSTAPHA HASIM BERANGKAT MENGERJAKAN HAJI

       Cikgu Mustapha yang juga Penolong Kanan Kokurikulum SK Tebaang telah berangkat untuk mengerjakan haji pada tahun ini. Beliau juga telah ditemani isterinya, Cikgu Mariana Mohiden telah berangkat pada 02 Ogos 2017 yang lalu. Tahniah diucapkan kepada Cikgu Mustapha kerana pada tahun ini berpeluang untuk melengkapkan rukun islam yang kelima dan menjadi tetamu di tanah haram yang penuh dengan barakah. Pihak warga SK Tebaang mengucapkan selamat berangkat dan kembali nanti mendapat haji yang mabrur.

LAWATAN PELAJAR TAHUN 6 KE KUALA LUMPUR 2017




       Pepatah lama menyatakan "Jauh Perjalanan Luas Pengalaman" itulah cuba pihak kami terapkan kepada para pelajar tahun 6 yang mana pada 28 Julai 2017 hingga 31 Julai 2017 telah dibawa untuk melawat dan melihat sendiri kemajuan di Kuala Lumpur. Objektif lain adalah untuk memberi peluang kepada para pelajar untuk mempelajari dan merasai sendiri pengalaman yang mana agak sukar diperoleh hanya melalui dokumentari dan juga buku teks.
       Seramai 20 orang pelajar dan 7 orang guru pengiring telah melawat ke beberapa tempat yang dikenal di Kuala Lumpur seperti Putrajaya, Zoo Negara, Tugu Negara, Menara Berkembar Petronas dan beberapa tempat yang lain sekitar KL. Terpancar wajah girang pelajar yang merupakan pengalaman pertama kali mereka menaiki kapal terbang.
       Terima kasih kepada para penyumbang yang telah sudi memberikan pihak pelajar pengalaman yang berharga ini. Tanpa sifat murah hati para penyumbang kepada program ini sukarlah pihak sekolah untuk melaksanakan program ini dan diharapkan para pelajar boleh memanfaatkan pengalaman ini untuk mempelajari sesuatu yang berguna.

7 August 2017

BENGKEL MENJAWAB SOALAN BAHASA MELAYU PENULISAN


       Walaupun beberapa kali ditunda namun bengkel menjawab soalan UPSR bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Penulisan telah berjaya dianjurkan. Bengkel berkenaan telah diadakan pada 24 Julai 2017 yang lalu. Penceramah jemputan adalah Cikgu Pathe Bin Morni dari SK Orang Kaya Sergunim, Matu. Para pelajar yang bakal menduduki soalan UPSR 2017 berpeluang menimba tip dan ilmu yang penting dalam persediaan mereka untuk memperoleh keputusan yang memberangsangkan dalam peperiksaan berkenaan. Terima kasih kami ucapkan kepada Cikgu Pathe atas perkongsian yang amat bermakna kepada anak-anak didik di SK Tebaang.