20 February 2016

TAKLIMAT PENILAIAN BERSEPADU PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN

       Taklimat berkaitan Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP) telah berlangsung di Bilik Guru SK Tebaang pada hari jumaat 19 Februari 2016 yang lalu. Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Cikgu Rody dan Cikgu Rahman dari Pejabat Pelajaran Daerah Daro. Kesemua guru SK Tebaang turut serta dalam taklimat berkenaan yang mana sistem penilaian yang baharu ini diperkenalkan  bagi mengganti Laporan Nilaian Pretasi Tahunan (LNPT) yang telah digunapakai tahun-tahun sebelum ini.
         Taklimat yang disampaikan lebih kepada pengenalan berkenaan dokumen-dokumen, sistem fail dan prosedur standard operasi yang akan digunakan dalam perlaksanaan PBPPP yang akan bermula pada tahun ini. Sebelum ini sistem berkenaan telah dijalankan secara percubaan selama 2 tahun bagi memantapkan tata kerja sistem tersebut. Terima kasih diucapkan kepada Cikgu Rody dan Cikgu Rahman yang sudi berkongsi dan memberi bimbingan kepada pihak kami.

18 February 2016

MESYUARAT AGUNG PERSATUAN IBU BAPA & GURU 1/2016

       Sidang Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG)  kali pertama bagi sesi 2016 telah berlangsung sebentar tadi. Sidang ini telah menghimpunkan ramai pihak antaranya para ibu bapa, staf SK Tebaang dan juga Exco PIBG. Mesyuarat ini telah diadakan pada jam 2:30 petang di Dewan RMT SK Tebaang dalam suasana penuh harmoni dan mesra.
       Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan tentang perbentangan perbelanjaan dan aktiviti persatuan yang telah dijalankan pada sepanjang tahun 2015 yang lalu. Selanjutnya beberapa perkara yang merupakan cadangan aktiviti bagi tahun 2016 juga turut dibangkitkan. Antara rumusan hasil persepakatan yang dicapai dalam mesyuarat berkenaan adalah berkaitan dengan aktiviti gotong-royong, membantu pihak sekolah dalam membaiki prasarana yang sedia ada, aktiviti mengerat hubungan seperti mengadakan sambutan perayaan dan keceriaan kawasan sekolah. Berikut adalah rakaman sepanjang perjalanan mesyuarat berkenaan.



PEMILIHAN OLAHRAGA MSS DAERAH DARO

       Sesi pemilihan olahraga peringkat Majlis Sukan Sekolah (MSS) bagi daerah Daro telah berlangsung pada 17 Februari 2016 di Padang Sukan Matu.  Pemilihan ini juga turut melibatkan 4 Zon dalam daerah Daro yang terdiri daripada Zon Tanjung Sirik, Tanjung Jol, Tanjung Manis dan Tanjung Alan.   
       Pada tahun ini 3 orang atlit dari SK Tebaang telah terpilih bagi mewakili Zon Tanjung Alan. Dalam pemilihan tersebut atlet kebanggaan sekolah ini, Fairulruddin telah mengungguli  tempat pertama bagi acara 80 meter lari berpagar, manakala Asrul menduduki tempat ke-2 untuk acara lompat jauh dan Arrisa hanya sekadar mendapat tempat ke-2 dalam acara lari 100 meter. 
       Ketiga-tiga atlet muda ini akan mewakili daerah Daro untuk berentap di Kejohanan MSS antara daerah Bahagian Mukah yang dijangka berlangsung pada 8-10 Mac 2016 di Padang Mini Daerah Daro. Semoga kehebatan atlet ini akan terus menyinar di kejohanan ini nanti.


15 February 2016

PENYERAHAN WANG BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN 2016

       Pada 04 Februari yang lalu, Unit Hal Ehwal Murid SK Tebaang telah menyerahkan wang bantuan awal persekolahan bagi sesi 2016. Penyerahan bantuan berkenaan telah diuruskan  melalui guru kelas masing-masing kepada para ibu-bapa. Mulai tahun ini hanya keluarga yang berpendapatan RM 3000.00 ke bawah sahaja yang layak menerima bantuan ini berbanding pada tahun lepas yang mana semua pelajar yang berdaftar di sekolah ini telah menerima bantuan tersebut. 
       Bagi tahun ini seramai 167 orang pelajar telah menerima bantuan awal persekolahan bagi sesi ini. Antara lain tujuan bantuan diberikan adalah untuk meringankan beban kewangan para ibu bapa dalam menyediakan peralatan sekolah anak masing.masing. Adalah diharapkan agar bantuan ini dapat dimanfaat sepenuhnya oleh para ibu bapa bagi kemajuan pendidikan anak-anak yang  berada di bawah tanggungan masing-masing. Berikut ada sekitar senario penyerahan wang bantuan berkenaan.


1 February 2016

SAMBUTAN HARI LAHIR WARGA SK TEBAANG

       Satu majlis ringkas bersempena Sambutan Hari Lahir warga SK Tebaang telah diadakan pada 27 Januari yang lalu. Acara ini adalah dianjurkan di bawah Program Sekolah Penyayang Program ini adalah seliaan Unit Hal Ehwal Murid SK Tebaang yang mana penyelarasnya adalah diketuai oleh Puan Serinah Binti Dris. Antara tujuan penganjuran aktiviti seperti ini adalah untuk merapatkan lagi hubungan antara pelajar dengan pihak sekolah selain menghargai setiap warga SK Tebaang yang bernaung di bawah satu bumbung.
      Program ini telah berjaya menghimpunkan semua warga SK Tebaang yang tarikh lahirnya adalah pada bulan Januari 2016. Bertempat di ruang legar di bawah makmal komputer SK Tebaang tepat jam 2.00 petang majlis tersebut berlangsung dalam keadaan sederhana  tetapi meriah dengan kehadiran para ibu bapa pelajar yang terlibat.  



PERJUMPAAN UNIT H.E.M DENGAN PARA IBU BAPA

       Bertarikh pada 19 Januari 2016 yang lalu, satu perjumpaan bersama ibu bapa dan penjaga waris para pelajar telah diadakan di dewan RMT SK Tebaang. Kebanyakan para ibu bapa telah menghadiri sesi perjumpaan berkenaan yang mana ia dipengerusikan oleh Encik Abdul Khalim Bin Mansor, Guru Besar SK Tebaang.
       Antara intipati perjumpaan itu adalah untuk menjelaskan kepada semua ibu bapa tentang  pemilihan para pelajar pada tahun ini yang layak mendapat bantuan Rancangan Makanan Tambahan agar agihan yang diberikan sampai kepada penerima yang layak dan sepatutnya.Selain itu perbincangan juga berkisar tentang segala permasalahan para pelajar di sekolah ini bagi diselesaikan secara bersama antara pihak sekolah dan ibu bapa.