21 July 2016

MAJLIS RAMAH TAMAH HARI RAYA AIDILFITRI, GAWAI DAYAK & TAHUN BARU CINA PERINGKAT PROTUP 2016

       Gabungan tiga buah sekolah iaitu SK Pangtray, SK Ulu Daro dan SK Tebaang atau lebih dikenali PROTUP telah berjaya melaksanakan Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri, Gawai Dayak dan Tahun Baru Cina pada 20 Julai 2016 yang lepas. Majlis gilang-gemilang itu telah turut sama dihadiri oleh Yang Berhormat Encik Shafiee Bin Haji Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri N.43 Daro. Kalau sebelum ini SK Pangtray dan SK Ulu Daro telah menjadi tuan rumah bagi peringkat PROTUP maka, untuk kali ini giliran SK Tebaang pula berpeluang menganjurkan majlis seumpamanya. Dalam ucapan perasmian Yang Berhormat telah bersetuju untuk menyalurkan bantuan sebanyak RM 5000.00 bagi setiap 3 buah sekolah yang bernaung di bawah PROTUP selain daripada komitmen beliau untuk terus membantu sekolah dalam memartabat agenda pendidikan khasnya.
       
       Pelbagai gerai-gerai disediakan untuk para pengunjung ke majlis berkenaan dan mendapat sambutan yang amat memberangsangkan  daripada pelbagai pihak apabila kesemua juadah dan hidangan yang disediakan telah habis untuk tempoh masa yang singkat. Gerai-gerai ini menyediakan pelbagai jenis makanan tradisional dan moden seperti pansuh, rendang ayam, ketupat, lemang, kuih-muih dan sebagainya yang menjadi hidangan wajib dalam mana-mana perayaan di Sarawak.

       





CERAMAH KEIBUBAPAAN

       Pada 18 Julai yang lalu, pihak Unit Kurikulum SK Tebaang telah berjaya menganjurkan satu ceramah bagi ibu bapa pelajar tahun 5. Ceramah Keibubapaan ini telah menjemput Al-Fadhil Ustaz Sulaiman Bin Haji Hasim daripada Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak sebagai penceramah di sesi berkenaan. Ceramah selama 2 jam 30 minit itu padat dengan panduan kepada ibu bapa dalam mendidik anak-anak agar berjaya dalam pendidikan dan memberi kesedaran kepada para pelajar betapa pentingnya pelajaran dan amanah bagi sebagai anak-anak yang soleh.

       Sambutan para ibu bapa amatlah  menggalakkan walaupun notis yang begitu singkat untuk para ibu bapa untuk menyertai program pagi tersebut. Mewakili semua warga kerja Sekolah Kebangsaan Tebaang Daro dan para ibu bapa pihak kami ingin mengucapkan jutaan terima kepada Ustaz Sulaiman Bin Haji Hasim kerana sudi meluangkan masa di SK Tebaang bagi berkongsi dalam majlis ilmu yang amat bermakna bagi kami di sini.






18 July 2016

LAWATAN PELAJAR TAHUN 6 KE KUALA LUMPUR & PUTRAJAYA

       Lawatan ke Kuala Lumpur dan Putrajaya telah dianjurkan oleh pihak sekolah bermula pada 13 hingga 17 Julai 2016 telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Lawatan kali ini membawa pelajar melawat sekitar bandaraya Kuala Lumpur serta ke pusat pemerintahan bagi negara Malaysia iaitu Bandar Putrajaya selain dari itu juga membuat tinjauan penanda aras ke sebuah sekolah berstatus sekolah amanah iaitu Sekolah Kebangsaan Sultan Hishamuddin Alam Shah, Kuala Lumpur bagi berkongsi pengalaman dengan sekolah berkenaan.

       Rombongan yang terdiri daripada  25 orang pelajar dan 10 guru ini berpeluang berkunjung ke tempat-tempat menarik seperti Muzium Negara, Institut Perguruan Bahasa Antarabangsa, Petrosains, Menara berkembar Petronas, Zoo Negara dan pusat membeli-belah di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman. Bagi pihak sekolah, kami merakamkan jutaan terima kasih kepada para penaja lawatan ini kerana memberi peluang anak-anak SK Tebaang untuk mempelajari sesuatu yang amat berguna melalui lawatan ini.