26 December 2013

SEJARAH SK TEBAANG DARO

SEJARAH SEKOLAH KEBANGSAAN TEBAANG DARO


Sekolah Rendah Kerajaan Kampung Tebaang ditubuhkan pada tahun 1958 oleh penduduk kampung. Pengasas pembinaan sekolah ini ialah En Gasa. Pada asalnya sekolah ini didirikan di tebing sungai Tebaang secara sementara oleh penduduk kampung. Ia dibina atas dasar gotong royong. Sekolah itu bertiangkan Nibong dan beratap daun nipah, berdindingkan daun nipah dan berlantaikan papan gergaji sorong. Enrolmen murid ada seramai 20 orang bersama 2 orang guru. Keadaannya adalah serba kekurangan dan daif. Murid yang datang belajar adalah daripada kalangan yang betul betul peka tentang keperluan bersekolah dan umur mereka adalah tidak menentu sehingga ada yang berumur 16 tahun masuk tahun pertama.


Bangunan yang panjangnya 50 kaki itu dibahagi kepada tiga bilik. 2 bilik kelas dan satu bilik guru. Batasan antara satu bilik dengan bilik yang satu lagi hanya dipisahkan dengan atap nipah. Meja dan kerusi yang digunakan adalah hasil kerja penduduk kampung. Manakala gurunya pula adalah daripada kalangan penduduk tempatan yang ada belajar bersama dengan orang Inggeris dan mendapat lantikan daripada Majlis Tempatan. Bangunan itu tidak bertahan lama, tiga tahun kemudian iaitu pada tahun 1961 sekolah ini diroboh kerana keadaannya yang kurang selamat. Dalam tempoh tiga tahun itu juga penduduk kampung semakin celik dan sedar betapa pentingnya bersekolah. Bilangan anak-anak kampung yang datang mendaftar semakin bertambah.


Justeru itu, pihak Jawatankuasa kampung telah memohon kepada kerajaan tempatan untuk mendirikan sekolah yang lebih baik. Jawatankuasa Kampung dan sekolah telah mendapat perhatian dan sokongan daripada Majlis Kerajaan Tempatan (Majlis Daerah) untuk mendiri sekolah baru kira-kira 100 meter daripada tapak lama. Bangunan baru didirikan pada tahun 1961 dengan tiga kelas dan satu bilik guru dan sebuah berek dua pintu. Keadaan bertambah baik dan bilangan murid bertambah sehingga 50 orang. Pada masa itu, segala kemudahan asas seperti api elektrik dan air belum ada lagi. Pengurusannya adalah di bawah Jabatan pelajaran di bawah bidang kuasa Majlis Daerah (MDDM). Pada peringkat awalnya sekolah ini mempraktikkan alternate year intake (Pengambilan selang tahun). Dari setahun ke setahun bilangan murid sentiasa bertambah sehingga kelas yang ada tidak mencukupi. Permohonan kepada Jabatan Pelajaran dikemukakan semula untuk penambahan bilik kelas dan beberapa keperluan lain serta infrastruktur yang lebih baik. Justeru itu, pada tahun 1990, Jabatan Pelajaran meluluskan permohonan untuk mendiri sekolah baru dengan kemudahan dan kelengkapan seperti yang terdapat pada hari ini.


Ianya terdiri daripada:
i)              Satu blok bangunan kelas (6 bilik kelas kekal)
ii)             Satu blok Pusat Sumber sekolah
iii)            Satu blok pentadbiran
iv)            Sebuah gelanggang serbaguna
v)             4 pintu tandas murid dan 4 pintu tandas guru
vi)            Sebuah berek 2 pintu untuk guru.


Walaupun kelengkapan dan keperluan belum mencukupi sekurang-kurangnya dapat memberi keselesaan kepada guru-guru dan anak-anak yang bersekolah. Bangunan baru ini mula digunakan pada tahun 1993 dan bergelar “Sekolah Kebangsaan Tebaang Daro.” Pada hari ini sekolah ini telah menawarkan Kelas Pra Sekolah hingga Tahun Enam. Ada 14 orang guru dan 3 orang staf sokongan yang berkhidmat di sini sehingga sekarang untuk mengasuh dan membimbing murid seramai 204 orang. Murid murid di sini rata-ratanya beragama Islam dan berbangsa Melanau. Ibu bapa mereka bekerja sebagai nelayan dan petani yang berpendapatan RM 400 ratus ke bawah.


Namun begitu, murid-murid di sini sangat rajin datang ke sekolah kerana terdapat banyak bantuan yang diberikan oleh kerajaan seperti Rancangan makanan Tambahan (RMT), projek susu percuma dan bantuan KWAPM. Murid murid sudah mula menampakkan kecerdasan dan kecemerlangan mereka sehingga pada tahun 2006 keputusan UPSR mencecah sehingga 80% dan julung-julung kali seorang murid mendapat 5A sejak sekolah dibuka pada tahun 1958 hingga 2006. Inilah satu kejayaan yang dinanti-nantikan dan amat dibanggakan oleh masyarakat kampung.

~Copied & Edited~

21 December 2013

IKRAR MURID


IKRAR MURID




Bahawasanya kami berikrar dan berjanji akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita berikut;

Ø  Berjaya dengan cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum,
Ø  Mematuhi sepenuhnya peraturan sekolah dan menjadi murid yang berakhlak mulia,
Ø  Menjadikan sekolah kawasan yang bersih, indah, harmonis dan selamat,
Ø  Mengamalkan prinsip-prinsip rukun negara dan rukun Islam dengan betul.



17 December 2013

Lagu Ibu Pertiwiku..


Sarawak tanah airku, 
Negeriku tanah airku Sarawak, 
Engkaulah tanah pusakaku, 
Tanah tumpah darahku, 
Ibu pertiwiku.. 



Rakyat hidup mesra dan bahagia, 
Damai muhibbah sentiasa, 
Bersatu berusaha berbakti, 
Untuk Sarawakku cintai.. 



Sarawak dalam Malaysia, 
Aman makmur rahmat tuhan Maha Esa, 
Kekallah Sarawak bertuah, 
Teras perjuangan rakyat, 
berjaya berdaulat..

11 December 2013

Lagu Sekolah SK Tebaang Daro..


LAGU SEKOLAH

Indah berdiri megah,
Itu sekolahku,
Sekolah Kebangsaan Tebaang Daro,
Menuju alaf baru..

Cemerlang dan mulia,
Panduan kita bersama,
Bersatu sehati sejiwa
.Ke arah maju jaya

SK Tebaang Daro,
Sekolahku cemerlang,
Harum mekar namamu dijulang,
Maju sekolahku

SK Tebaang Daro,
Sekolahku cemerlang,
Harum mekar namamu dijulang,
Maju sekolahku (2X)

1 December 2013

Rukun Negara & Falsafah Pendidikan Kebangsaan


RUKUN NEGARA

MAKA KAMI, RAKYAT MALAYSIA, BERIKRAR AKAN MENUMPUKAN SELURUH TENAGA DAN USAHA KAMI MENCAPAI CITA-CITA TERSEBUT BERDASARKAN PRINSIP-PRINSIP BERIKUT :


KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
KELUHURAN PERLEMBAGAAN
KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
KESOPANAN DAN KESUSILAAN



FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN


PENDIDIKAN DI MALAYSIA ADALAH SUATU USAHA BERTERUSAN KE ARAH LEBIH MEMPERKEMBANGKAN POTENSI INDIVIDU SECARA MENYELURUH DAN BERSEPADU UNTUK MELAHIRKAN INSAN YANG SEIMBANG DAN HARMONIS DARI SEGI INTELEK,ROHANI,EMOSI DAN JASMANI BERDASARKAN KEPERCAYAAN DAN KEPATUHAN KEPADA TUHAN. USAHA INI ADALAH BERTUJUAN UNTUK MELAHIRKAN WARGANEGARA MALAYSIA YANG BERILMU PENGETAHUAN, BERKETRAMPILAN, BERAKHLAK MULIA, BERTANGGUNGJAWAB DAN BERKEUPAYAAN MENCAPAI KESEJAHTERAAN DIRI SERTA MEMBERIKAN SUMBANGAN TERHADAP KEHARMONIAN DAN KEMAKMURAN KELUARGA, MASYARAKAT DAN NEGARA.