22 March 2017

MAJLIS PERPISAHAN CIKGU AZMA MAC 2017


     Setelah melengkapkan perkhidmatan di kelas Pra Sekolah SK Tebaang selama 3 tahun lebih, maka pada 17 Mac 2017, Cikgu Azma telah menamatkan perkhidmatan beliau di sekolah ini dan akan berpindah ke SK RPR Batu Kawa, Kuching selepas cuti pertengahan penggal 1 nanti. Pihak SK Tebaang telah mengadakan satu majlis perpisahan sebagai tanda terima kasih atas curahan jasa bakti beliau di sekolah ini telah diadakan pada 13 Mac 2017. Kepada Cikgu Nor Azma, tahniah diucapkan kerana dapat kembali bersama suami dan anak tersayang. Semoga beliau akan terus sukses di tempat baharu dan akan terus mengingati SK Tebaang sepanjang hayat beliau. Buat Cikgu Nor Azma kalau ada sekali sekala rindu bertandang terhadap SK Tebaang bolehlah intai-intai kami melalui blog ini. Terima Kasih Cikgu Azma Binti Mohd. Zain atas sumbangan cikgu selama ini.

PROMO SKPMg2 2017


       Satu sesi promo penerangan telah diadakan pada 11 Mac 2017 bagi menjelaskan pengisian standart 4 SKPMg2 iaitu Pembelajaran dan Pemudahcaraan Kendiri yang akan diisi oleh guru sendiri sepanjang bulan Mac ini. Sesi promo ini dianjurkan oleh Gabungan Sekolah Zon Tanjung Alan yang terdiri daripada 10 buah sekolah dengan kerjasama pihak Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Cawangan Sibu. Seramai 4 orang jabatan berkenaan yang diketuai oleh Encik Ibrahim Mohidin telah memulakan sesi berkenaan pada jam 0800 pagi. Dengan penganjuran sesi seperti ini proses pengisian SKPMg2 khususnya bagi pengisian standart 4 secara luar talian dan seterusnya secara dalam talian akan lebih mudah dan lancar. Tidak lupa diucapkan terima kasih kepada Guru Besar SK Hijrah Badong dan staf kerana berjaya menjadi tuan rumah kepada sesi penerangan ini.

PENYERAHAN WANG BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN 2017

       Dalam ucapan perbentangan bagi bajet 2017 oleh Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Haji Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak pada 21 Oktober 2016 yang lalu turut melanjutkan pemberian wang bantuan awal persekolahan bagi tahun ini kepada pelajar-pelajar yang memerlukan. Sehubungan dengan itu, Unit Hal-Ehwal Murid SK Tebaang telah mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa dan penjaga para pelajar pada 10 Mac 2017 yang lalu untuk mengagihkan peruntukan berkenaan kepada para pelajar dari tahun 2 hingga tahun 6. Setiap pelajar yang berkelayakan telah menerima sejumlah RM 100.00 bagi tujuan untuk membeli barangan atau alatan persekolahan yang diperlukan.

15 March 2017

KARNIVAL BM & BI ZON TANJUNG ALAN 2017



       Bertempat di SK Camporan, Daro sebanyak 10 buah sekolah di sekitar Zon Tanjung Alan telah menyertai Karnival Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada 09 Mac 2017 yang lalu. Antara pertandingan yang dijalankan dalam pertandingan ini ialah bercerita tahap 1 & 2, pidato tahap 2 bagi Bahasa Melayu. Untuk pertandingan dalam Bahasa Inggeris pula pertandingan seperti poetry, action song, pidato dan story telling turut dijalankan. Bagi pencapaian dalam pertandingan kali ini, adik  Nur Zalinawati Binti Najib berjaya mendapat tempat ke-3 manakala adik Nurul Azwa Binti Abdul Rahman juga turut meraih tempat ketiga. Tahniah diucapkan pasukan SK Tebaang.

6 March 2017

PERTANDINGAN MTQ PERINGKAT ZON TANJUNG ALAN 2017

       Pada 28 Februari yang lalu, pasukan MTQ SK Tebaang telah berentap dengan beberapa buah sekolah dalam Zon Tanjung Alan bagi memilih para peserta untuk mewakili zon ini pada MTQ peringkat antara zon dalam PPD Daro. MTQ SK Tebaang telah menyertai kesemua acara yang dipertandingkan antaranya ialah Tilawah Lelaki & Perempuan, Hafazan Lelaki & Perempuan, Bercerita Lelaki & Perempuan, Azan dan Nasyid. Antara keputusan yang  dicapai oleh SK Tebaang melalui acara bercerita lelaki dan perempuan masing-masing tempat ketiga dan kedua manakala bagi hafazan perempuan berjaya meraih juga tempat ke-3.