29 March 2016

SELAMAT PENGANTIN BAHARU FIZA & ASMA

Bersempena Cuti Pertengahan Semester 1 / 2016 yang lalu,  Cikgu Asma' Binti Hassan dan Cikgu Nik Norhafiza Binti Nik Abdullah telah memulakan  langkah ke gerbang kehidupan berkeluarga bersama-sama pasangan masing-masing. Tahniah diucapkan kepada kedua-dua pengantin baharu dan semoga kekal hingga ke jannah hendaknya. Amin.




21 March 2016

MAJLIS PERPISAHAN GURU SESI 1/2016



       Bertarikh 26 Februari 2016 telah berlangsung satu majlis bagi meraikan beberapa orang guru daripada SK Tebaang yang melangkah keluar kerana berpindah ke sekolah lain. Antara guru yang berpindah adalah Cikgu Iskunadi B. Liap yang juga Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Ustaz Muhammad 'Afif B. Zulkiflee, Cikgu Muhammad Hakam B. Ashari dan Cikgu Pia Binti Wasli. Mereka ini masing-masing akan bertugas di tempat baharu seperti SK Nangar, Daro, SK Convent Lebuh Light, Pulau Pinang, dan SK Semop, Daro. Terima kasih atas jasa bakti yang cikgu-cikgu berikan di sepanjang perkhidmatan di SK Tebaang ini dan bagi pihak kami hanya mendoakan yang terbaik untuk kalian semua. Semoga hidup anda diberkati oleh Allah S.W.T dan beroleh kejayaan pada masa yang mendatang. Sekali lagi TERIMA KASIH CIKGU.



20 February 2016

TAKLIMAT PENILAIAN BERSEPADU PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN

       Taklimat berkaitan Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP) telah berlangsung di Bilik Guru SK Tebaang pada hari jumaat 19 Februari 2016 yang lalu. Taklimat tersebut telah disampaikan oleh Cikgu Rody dan Cikgu Rahman dari Pejabat Pelajaran Daerah Daro. Kesemua guru SK Tebaang turut serta dalam taklimat berkenaan yang mana sistem penilaian yang baharu ini diperkenalkan  bagi mengganti Laporan Nilaian Pretasi Tahunan (LNPT) yang telah digunapakai tahun-tahun sebelum ini.
         Taklimat yang disampaikan lebih kepada pengenalan berkenaan dokumen-dokumen, sistem fail dan prosedur standard operasi yang akan digunakan dalam perlaksanaan PBPPP yang akan bermula pada tahun ini. Sebelum ini sistem berkenaan telah dijalankan secara percubaan selama 2 tahun bagi memantapkan tata kerja sistem tersebut. Terima kasih diucapkan kepada Cikgu Rody dan Cikgu Rahman yang sudi berkongsi dan memberi bimbingan kepada pihak kami.

18 February 2016

MESYUARAT AGUNG PERSATUAN IBU BAPA & GURU 1/2016

       Sidang Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG)  kali pertama bagi sesi 2016 telah berlangsung sebentar tadi. Sidang ini telah menghimpunkan ramai pihak antaranya para ibu bapa, staf SK Tebaang dan juga Exco PIBG. Mesyuarat ini telah diadakan pada jam 2:30 petang di Dewan RMT SK Tebaang dalam suasana penuh harmoni dan mesra.
       Antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan tentang perbentangan perbelanjaan dan aktiviti persatuan yang telah dijalankan pada sepanjang tahun 2015 yang lalu. Selanjutnya beberapa perkara yang merupakan cadangan aktiviti bagi tahun 2016 juga turut dibangkitkan. Antara rumusan hasil persepakatan yang dicapai dalam mesyuarat berkenaan adalah berkaitan dengan aktiviti gotong-royong, membantu pihak sekolah dalam membaiki prasarana yang sedia ada, aktiviti mengerat hubungan seperti mengadakan sambutan perayaan dan keceriaan kawasan sekolah. Berikut adalah rakaman sepanjang perjalanan mesyuarat berkenaan.