14 April 2016

DIALOG PRETASI UNIT HAL EHWAL MURID

       Satu perjumpaan yang melibatkan semua staf dengan Unit Hal Ehwal Murid telah diadakan pada 13 April 2016 di Bilik Guru SK Tebaang yang telah dipengerusikan oleh Puan Saudah Bt. Dor, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Antara perkara yang dibincangkan adalah berkaitan dengan pembentangan program yang dirancang serta  yang telah dilaksanakan sepanjang 4 bulan pertama tahun ini. 
     Antara yang menjadi fokus perbincangan dalam dialog berkenaan adalah berkaitan prestasi kehadiran para murid dan melengkapkan buku rekod kehadiran pelajar untuk tujuan audit yang akan dilaksanakan sedikit masa lagi. Di samping itu turut dibincangkan mengenai penambahbaikan beberapa program yang telah dilaksanakan untuk memantapkan lagi perjalanan Unit Hal Ehwal sekolah ini.


DIALOG PRESTASI & PENETAPAN SASARAN UPSR 2016

        Bertarikh 13 April 2016 Unit Kurikulum telah berjaya menganjurkan satu program iaitu Dialog Prestasi bersama-sama dengan para ibu bapa murid tahun 6 bagi melaporkan perkembangan semasa anak-anak khasnya dalam bidang akademik bagi tempoh suku pertama bagi tahun ini. Pertemuan ini telah diadakan di makmal komputer sekolah. Perbincangan dan perbentangan adalah berfokuskan mengenai prestasi akademik, program peningkatan akademik yang telah dilaksanakan serta program-program yang akan dirancangkan di masa-masa akan datang untuk manfaat murid-murid tahun 6.
     Serentak dengan itu juga, penetapan sasaran UPSR bagi tahun ini juga turut dijalankan bagi memastikan para pelajar sentiasa bermotivasi untuk mencapai kecemerlangan dalam UPSR. Para pelajar mengisi satu borang khas yang memaparkan sasaran individu yang perlu dicapai pada UPSR dengan disaksikan sendiri oleh para ibu bapa pelajar masing-masing. Adalah diharapkan agar setiap program yang telah disusun oleh pihak sekolah akan mendapat sokongan daripada semua pihak khususnya para ibu bapa.


PELAKSANAAN PROGRAM KEM MEMBACA 1MALAYSIA 2016 (KM1M 2016)

       Kem Membaca 1Malaysia (KM1M) adalah salah satu insiatif Kementerian Pelajaran Malaysia di bawah Program Gerakan Tabiat Membaca. Program KM1M 2016 telah diadakan selama 3 hari iaitu bermula pada 4 hingga 6 April 2016 dengan Tema “Membaca Menjana Pemikiran 1Malaysia“.
      Antara objektif program ini, adalah mengisi masa lapang murid, menggerakkan program atau aktiviti galakan membaca, memupuk minat membaca secara berterusan dan menjadikan Pusat Sumber sekolah sebagai tempat tunggal rujukan utama bahan bacaan serta memperkukuhkan kemahiran maklumat dalam kalangan murid.
       Sepanjang program ini, murid-murid dikehendaki membaca buku dari jam 7:00 pagi hingga 7:30 pagi di kelas masing-masing manakala pada waktu rehat atau sebelah petang diadakan program jom membaca di Pusat Sumber Sekolah. Adalah diharapkan agar minat membaca dapat dipupuk di awal usia agar menjadi amalan mereka sepanjang kehidupan.




 

8 April 2016

LATIHAN KEBAKARAN SIRI 1 / 2016

       Unit Hal Ehwal Murid sebentar tadi telah berjaya mengadakan satu latihan menghadapi kebakaran bagi semua warga SK Kampung Tebaang. Latihan kebakaran ini antara lain bertujuan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan terutama kalangan pelajar dan umumnya kepada semua warga sekolah dalam menghadapi situasi seperti kebakaran. Dalam latihan ini juga warga sekolah telah diingatkan agar sentiasa mematuhi segala langkah-langkah yang digariskan bagi memastikan kemalangan semasa menghadapi kebakaran dapat dielakkan. Latihan yang berlangsung selama 15 minit itu telah berakhir jam 9:30 pagi ini telah dapat memantapkan persediaan para warga sekolah dalam berdepan dengan kebakaran. Berikut adalah beberapa suasana yang sempat dirakamkan semasa 'fire drill' berlangsung.