17 April 2016

CERAMAH MOTIVASI MURID TAHUN 6

       Alhamdulillah, selesai sudah satu program ceramah motivasi bagi tahun 6 yang berlangsung pada sebentar tadi. Kali ini program berkenaan telah berjaya dianjurkan dengan jayanya oleh Unit Kurikulum dan Unit Bimbingan dan Kaunseling SK Tebaang. Penceramah motivasi yang didatangkan khas kali ini adalah tidak asing lagi bagi kebanyakan di sekolah daerah Daro yang mana sering dijemput untuk memberi motivasi kepada para pelajar dan juga ibu bapa. Beliau yang dimaksudkan adalah Encik Ismadi Bin Johari. 
       Program berkenaan diadakan di ruang legar bawah makmal komputer SK Tebaang dan turut sama disertai oleh para ibu bapa murid tahun 6. Antara lain tujuan mengapa program ini dijalankan adalah untuk memberi kesedaran kepada para murid tahun 6 betapa pentingnya memulakan langkah awal dengan menyemai sikap rajin belajar dan berusaha gigih untuk mencapai kecemerlangan dalam UPSR nanti. Adalah diharapkan agar selesai program ini nanti akan terbentuknya keinsafan dalam diri murid-murid untuk terus bermotivasi dalam mencari bekalan ilmu sebelum menjelangnya UPSR yang akan berlangsung pada bulan September ini nanti.



14 April 2016

PERASMIAN PROTUP DAN KELAS ABAD KE-21 DI SK ULU DARO

       Program Tebaang, Ulu Daro dan Pantray atau lebih dikenali dengan akronim PROTUP telah dirasmikan oleh Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Daro, Encik Omar Bin Ramain. PROTUP adalah merupakan kesinambungan dari program RIMUP yang mana sejak 3 tahun lepas telah dianjurkan secara bergilir-gilir oleh ketiga-tiga buah sekolah yang terlibat iaitu SK Tebaang (SKTD), SK Ulu Daro (SKUD) dan SK Pantray (SKP). 
      Bagaimanapun bagi tahun ini, tercetusnya idea untuk berkolaborasi diteruskan lagi tidak hanya melibatkan intergrasi dalam bidang kebudayaan dan sukan semata malah telah melangkau kepada program bersama-sama melonjakkan prestasi akademik khasnya. Dengan adanya pengemblingan kemahiran dan perkongsian amalan baik para guru ini adalah diharapkan agar suatu ketikanya nanti akan dapat meningkatkan lagi prestasi akademik di ketiga-tiga buah sekolah.
      Di samping itu juga, pihak SK Ulu Daro juga telah berubah dari segi dekorasi dan susun atur kelas menjadikan mereka merupakan sekolah pertama di daerah Daro dapat mengwujudkan Kelas Abad Ke-21 bagi menarik minat para pelajar untuk berusaha dengan gigih menggapai keterbilangan dalam pelbagai bidang. Usaha ini dapat dijadikan contoh terbaik untuk sekolah-sekolah di daerah ini agar dapat mengambil insiatif yang sama seperti apa yang dibuat oleh SK Ulu Daro. Syabas dari pihak kami atas kesudian pihak SK Ulu Daro menjemput kami untuk melihat sendiri kejayaan sekolah ini dalam segala aspek dan dari sini pihak SK Tebaang dapat belajar dn seterusnya mengaplikasikan amalan terbaik ini di sini.


AKTIVITI 10 MINIT CEGAH AEDES

       Sekali lagi pada pagi ini, Unit Hal Ehwal Murid berjaya melaksanakan aktiviti 10 minit cegah denggi yang melibatkan semua murid, guru dan staf SK Tebaang. Keadaan cuaca kebelakangan ini amat sesuai untuk nyamuk aedes membiak. Antara objektif yang ingin capai dalam aktiviti ini adalah untuk memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes. Seterusnya adalah diharapkan agar dapat memupuk kesedaran di kalangan murid-murid tentang perlunya menjaga persekitaran sekolah bagi mengelaknya penyakit demam denggi merebak.


DIALOG PRETASI UNIT HAL EHWAL MURID

       Satu perjumpaan yang melibatkan semua staf dengan Unit Hal Ehwal Murid telah diadakan pada 13 April 2016 di Bilik Guru SK Tebaang yang telah dipengerusikan oleh Puan Saudah Bt. Dor, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Antara perkara yang dibincangkan adalah berkaitan dengan pembentangan program yang dirancang serta  yang telah dilaksanakan sepanjang 4 bulan pertama tahun ini. 
     Antara yang menjadi fokus perbincangan dalam dialog berkenaan adalah berkaitan prestasi kehadiran para murid dan melengkapkan buku rekod kehadiran pelajar untuk tujuan audit yang akan dilaksanakan sedikit masa lagi. Di samping itu turut dibincangkan mengenai penambahbaikan beberapa program yang telah dilaksanakan untuk memantapkan lagi perjalanan Unit Hal Ehwal sekolah ini.