18 January 2014

Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah..

Alhamdulillah selesai sudah program Sambutan Maulidur Rasul 1435H peringkat sekolah pada hari ini anjuran Panitia Pendidikan Islam dan j-QAF dengan tema “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah”. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program sambutan maulidur rasul pada kali ini.

Perarakan warga SKTD mengelilingi Kg. Tebaang
Perjalanan majlis bermula jam 7.30 pagi, bermula dengan taklimat daripada Ustaz Afif. Seterusnya, sekitar jam 7.45 pagi, acara perarakan bermula. Dif-dif jemputan, exco PIBG, para guru, guru KAFA dan murid-murid SK Tebaang Daro berjalan sambil berselawat mengelilingi Kampung Tebaang yang diketuai oleh Cikgu Mustapha dan Cikgu Hatta. Bacaan selawat dipimpin oleh Ustaz Afif dan Cg. Hafizuddin sepanjang perarakan berlangsung.

Selawat dipimpin oleh Ustaz Afif dan Cikgu Hafizuddin
Selepas acara perarakan, acara selawat memuji baginda Nabi Muhammad s.a.w diadakan di bawah Makmal Komputer yang dipimpin oleh Ustaz Afif dan Ustaz Zul. Selepas itu, murid-murid diarahkan masuk ke kelas masing-masing bagi menyertai pertandingan mewarna bagi murid-murid pra sekolah dan Tahap Satu serta pertandingan menulis khat bagi murid-murid Tahap Dua.

Pertandingan mewarna..
Pertandingan khat..
Seterusnya, warga SKTD berkumpul di bawah makmal komputer bagi mengikuti pertandingan bercerita yang dikendalikan oleh Cikgu Asma’. Acara selingan turut diadakan iaitu persembahan khas daripada Cikgu Mustapha yang mendendangkan sebuah lagu yang bertajuk “Di Pondok Kecil”.

Pertandingan bercerita kisah Nabi Muhammad s.a.w..
Persembahan khas daripada Cg. Mustapha Hashim.
Selepas acara pertandingan bercerita selesai, majlis diteruskan lagi dengan acara pertandingan kuiz antara dua kumpulan murid yang dikendalikan oleh Ustaz Zul. Selepas itu, murid-murid ke bilik RMT untuk sarapan pagi manakala dif-dif jemputan dan guru-guru menikmati jamuan di bilik guru.


Menjamu selera di bilik guru..
Ceramah Maulidur Rasul oleh Ustaz Afif
Selepas rehat, majlis penangguhan pun berlangsung dan dimulai dengan bacaan doa oleh Ustaz Zul. Seterusnya, acara ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Ustaz Afif yang bercerita mengenai akhlak Nabi Muhammad s.a.w yang terpuji. Seterusnya, persembahan nasyid daripada kumpulan nasyid SK Tebaang Daro di bawah bimbingan Ustaz Afif.

Persembahan Nasyid oleh kumpulan nasyid SKTD.
Kemuncak majlis Sambutan Maulidur Rasul 2014 bersamaan 1435H adalah majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi acara-acara pertandingan yang disampaikan oleh Ketua Kaum Kampung Tebaang sambil diiringi oleh Guru Besar SK Tebaang Daro.

Acara penyampaian hadiah..
Penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan..
Pihak sekolah turut berbesar hati menyampaikan cenderamata kenang-kenangan kepada Cikgu Siti Hajar yang akan berpindah ke sekolah yang baru di Semenanjung Malaysia tidak lama lagi. Warga SKTD mengucapkan tahniah dan jutaan terima kasih kepada Cikgu Siti Hajar atas segala jasa dan bakti yang ditaburkan sepanjang bertugas di SK Tebaang Daro. Semoga lebih berjaya di tempat kerja yang baru.

Penyampaian cenderamata kenang-kenangan kepada Cg. Siti Hajar.
Majlis tamat sekitar jam 12.00 tengah hari. Bersurai.

No comments:

Post a Comment